Petikan Berita Projek Ternakan Kambing Boer Daripada Laman Web KPMNJ

Buletin 08 : KPMNJ terokai bidang ternakan Kambing Boer

Kluang : Sesuai dengan saranan kerajaan yang memartabatkan bidang pertanian itu sebagai perniagaan, Koperasi Permodalan Melayu Negeri Johor (KPMNJ) tidak ketinggalan menjadikan bidang ternakan sebagai salah suatu bidang baru bagi menambah punca pendapatan koperasi.

Sebagai langkah awal, KPMNJ memulakan ternakan kambing Boer sejumlah 100 ekor induk betina dan lima ekor jantan Boer bermula Februari 2008. Sebuah kandang kambing dibina dalam kawasan Ladang Koperasi Melayu di Kahang, Kluang bagi tujuan itu.

Kandang kambing terbabit berukuran 100 kaki persegi x 30 kaki persegi, mampu menempatkan sehingga 300 ekor kambing pada satu masa.

Lantai kandang disimen dengan anggaran kecerunan pada kadar 1:10 bagi memudahkan kerja-kerja mencuci dan pembersihan. Najis kambing pula diproses menjadi baja.

Kambing Boer adalah sejenis ternakan yang mudah dipelihara kerana cepat menyesuaikan diri dengan alam sekeliling dan diternak kerana dagingnya.

Aktiviti ternakan daging mampu memberi pulangan sampingan yang lumayan dan dapat memenuhi permintaan dan keperluan daging tempatan.

Ketika ini dianggarkan permintaan daging tempatan hanya mampu dipenuhi sekitar 10 peratus sahaja, dan selebihnya terpaksa diimport.

Ini membawa erti bahawa permintaan masyarakat terhadap daging di negara ini adalah tinggi berbanding pengeluarannya.

KPMNJ menghantar beberapa anggota pekerjanya menghadiri pelbagai kursus dan latihan berkaitan pengendalian ternakan kambing . Antaranya ialah yang dianjur oleh Perfect Agro Sdn Bd pada 28 hingga 30 Januari 2008 lalu di Sepang, Selangor.

Anggota pekerja yang dihantar termasuk Pengurus Ladang, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Eksekutif Pembangunan Perniagaan, Pegawai Akaun dan tiga pekerja ladang koperasi.

Kesemua mereka ini adalah antara pihak yang bertanggungjawab mengurus dan mengendalikan termasuk mengawal selia kambing yang terdapat di Ladang Koperasi Melayu.

Pada 12 Februari 2008, Pengurus Ladang dan Pegawai Jabatan Perkhidmatan Haiwan , Encik Jaafar telah ke pusat transit kambing di Sepang untuk melakukan pemilihan kambing untuk dihantar ke Ladang Koperasi Melayu. Kesemua 105 ekor Kambing Boer telah selamat tiba ke Ladang Koperasi Melayu tepat jam 8.30 malam pada hari yang sama. Seorang kakitangan Perfect Agro Sdn. Bhd. telah ditempatkan di Ladang Koperasi Melayu selama 14 hari bagi membantu kerja-kerja permulaan penternakan dan memberi khidmat nasihat.

Kambing jantan Boer akan mula berahi ketika berumur 6-9 bulan. Anak-anak jantan mula digalakkan untuk mengawan seawal umur 1 tahun. Kambing betina Boer pula akan mula mencapai tahap matang pada umur 10-12 bulan. Kambing Boer yang telah diperolehi oleh KPMNJ kini berada dalam lingkungan purata umur 7 bulan bagi jantan dan betina. Bagi keperluan rumput potong harian, seluas 1 ekar telah diperuntukkan untuk tanaman rumput Napier. Rumput tersebut akan dipotong, diracik menggunakan mesin dan diangkut ke dalam kandang. Selain itu, kambing juga diberi makan makanan sampingan lain seperti makanan organik dan daun kelapa sawit.

Pada 27 Mac 2008 Anggota Lembaga KPMNJ telah melakukan lawatan ke Ladang Koperasi Melayu untuk melihat dengan lebih dekat projek ternakan Kambing Boer ini. Untuk memperkembangkan lagi projek ternakan kambing Boer pada masa akan datang, KPMNJ bercadang memperkenalkan projek ternakan kambing yang melibatkan ahli Skim Program Kesejahteraan Rakyat (SPKR) di Daerah Mersing.


Dikirim pada Friday, July 11, 2008 @ 17:13:18 MYT oleh NB

No comments:

Post a Comment