Pemasaran Menerusi Strategi Sistematik

http://harizamrry.wordpress.com/2008/02/05/pemasaran-hasil-ladang-menerusi-strategi-sistematik/

DALAM kebanyakan projek penternakan kambing, selain daripada aktiviti pengeluaran hasil itu sendiri, aspek pemasaran juga tidak kurang pentingnya malah ia mampu memberikan pulangan lumayan. Pengamatan semasa oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) menunjukkan bahawa penghasilan ternakan kambing lebih banyak dijual sebagai baka memandangkan permintaan yang tinggi sehingga menyebabkan bekalan tidak mencukupi. Namun, selain baka, hasil ladang yang boleh dipasarkan juga meliputi baja organik, ternakan kaprima sembelihan, susu segar, bunga dan tanaman hiasan serta susu perisa atau dadih.

Secara perbandingannya, harga di peringkat ladang bagi kambing kacukan per berat hidup pada tahun 2000 bagi kambing betina kacukan ialah RM9 sekilogram, manakala jantan pula RM14 sekilogram Kedudukan harga runcit daging kambing tempatan pada 2002 pula ialah RM18.27 sekilogram dan dipasarkan melalui beberapa saluran seperti pasar tani, pasar basah dan pasar malam, restoran dan gerai makan, pasar raya atau outlet makanan segera.

Strategi Pemasaran


Kejayaan pemasaran kambing pedaging dan produk atau hasil kambing banyak bergantung kepada mutu strategi yang diguna pakai dalam usaha pemasaran yang dirancang.

Antara strategi yang telah dikena pasti termasuk:

● Penghasilan produk yang berkualiti dengan harga yang berpatutan.
● Piawaian tatacara pengurusan (pengeluaran) kambing yang seragam.
● Ladang bebas penyakit (Disease Free Farm) melalui skim amalan ladang ternakan (SALT).
● Berskala besar dengan teknologi tinggi yang mampu mengurangkan kos pengeluaran sekali gus menjadikannya produk yang lebih berdaya saing.
● Pembangunan berkelompok untuk menjurus kepada sesuatu permintaan pasaran dalam dan luar negara.


Konsep pembangunan berkelompok yang diterajui oleh sesebuah syarikat induk juga bertujuan untuk membolehkan bekalan sesuatu permintaan dipenuhi dengan kemas dan berterusan.

Strategi pembiakan untuk sesuatu pasaran atau musim pasaran.

Pemasaran hasil ladang khususnya kambing-kambing seharusnya dirancang mengikut permintaan pasaran yang mana pendekatan ini dapat membantu pemasaran hasil di samping menawarkan harga yang lebih baik. Bagi tujuan ini, pengusaha perlu mengira ke hadapan (tempoh bunting dan enam bulan pemeliharaan) serta mengahwinkan kambing-kambing mereka setahun lebih awal. Ini antara lain bertujuan untuk menyediakan mereka kepada permintaan bermusim seperti perayaan yang tinggi.

Penggunaan Teknologi ICT dan e-Dagang

Seiring dengan kecanggihan teknologi, pemasaran hasil ternakan kambing juga seharusnya mendukung hasrat kerajaan yang mahu ia dipasarkan secara meluas termasuk menerusi e-Dagang. Laman web ini juga boleh digunakan untuk tujuan promosi, membentuk rangkaian, tempahan bekalan dan iklan pemasaran selain daripada sumber ilmu. Jabatan Perkhidmatan Haiwan misalnya, telah pun membangunkan satu laman web yang mampu memberikan perkhidmatan e-Dagang termasuk bagi pemasaran kambing pedaging dan hasilnya. Ia boleh dilayari di alamat: http://veinserver.jph.gov.my/
bagi melihat sendiri usaha pemasaran hasil ternakan.


Promosi Produk

Bagi memastikan hasil ternakan kambing diketahui ramai, JPH dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) turut menjalankan usaha mempromosikan produk sebaik bekalan mencukupi. Ini memandangkan masyarakat kita tidak mendapat maklumat yang cukup bahawa daging kambing adalah merupakan 64 peratus daripada penggunaan daging ruminan di seluruh dunia.

Pendekatan pembangunan projek menggunakan konsep inkubator

Pendekatan membangunkan projek melalui konsep ini sedang diusahakan di beberapa kawasan dan JPH sedang menilai perkembangan pendekatan ini dengan dibantu oleh Unit Pembangunan Usahawan Kementerian Pertanian dan Institut Pengurusan Veterinar Cheras. Secara asasnya, JPH menggalakkan beberapa syarikat ternakan swasta yang berminat memulakan sendiri bidang usaha dan selepas berjaya serta boleh dijadikan contoh, mereka diminta pula melatih pengusaha kambing tradisional lain. Pengusaha tradisional ini setelah dilatih akan digalakkan memohon pinjaman daripada Bank Pertanian Malaysia untuk mentransformasikan bidang usaha sedia ada kepada tahap komersial.

Syarikat swasta yang melatih penternak ini akan membangunkan semula projek serta perkhidmatan selepas jualan dan JPH akan memberikan perkhidmatan Lawatan Terancang Berjadual (LTJ) bermula bermula pada waktu tersebut. Syarikat swasta ini juga akan diterima sebagai inkubator kepada pengusaha tradisional kambing sedia ada di kawasan tersebut.

No comments:

Post a Comment